Selasa, 14 Mei 2013

LUAHAN HATI BEKAS SETIAUSAHA POLITIK TAN SRI AZIZAN BEKAS MB KEDAH


Aku Dan Ustaz Azizan: Catatan Kehilangan:Sanusi Md Nor

Aku menemani Ustaz Azizan di KMC setelah beberapa hari tak bertemu kerana urusan kempen pilihanraya. Beberapa kali dia berpesan kepada rakan-rakan untuk menghubungi aku yang agak sibuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengarah MTD DUN Jeneri (aku adalah Timbalan Pengarah 1 sebelumnya, terpaksa memangku pengarah yang dilantik sebagai wakil calon). Kami hanya berhubung melalui telefon. Dia foward beberapa sms dan nombor telefon yang memaki hamunnya sebelum dan selepas calon-calon dimuktamadkan. Aku ber istighfar dan meminta dia terus bersabar. Dia sudah buat yang terbaik untuk negeri, rakyat Kedah dan parti. Tak ada apa perlu dikesalkan.
Beberapa kali dia merungut... "Depa tak mau dengar cakap kita dah. Susunan dan cadangan kita diredah tanpa merujuk kepada kita lagi. Semua orang boleh membuat keputusan untuk PAS Kedah. Kita di Perhubungan Negeri sudah tak ada kuasa apa- apa. Pesuruhjaya ada ramai di Kedah ni". Saya hanya mendengar dan menyelami keresahannya. Seorang Pesuruhjaya tanpa kuasa di saat keputusan-keputusan besar perlu dilakukan.
Ramai orang lama PAS Kedah datang dengan rombongan mereka dari kawasan -kawasan untuk memohon dikekalkan atau diganti calon-calon tertentu dengan alasan yang tersendiri, Ustaz Azizan sudah letih melayani. Katanya" Hampa kata hampa, yang aku cadang pun depa buang, depa langgaq ikut suka depa, nak suruh aku pertahan hak hampa cadang lagu mana. Hampa pi lah ke pejabat agong, aku sudah tak buleh buat apa-apa."
Setelah keputusan PRU diumumkan, barulah saya berkesempatan bertemu dengannya, itupun dia sudah di KMC, mengadu sakit kaki dan demam. Kali pertama mengunjunginya pada Isnin, dia sedang menjalani prosedur rawatan di ICU, saya pulang jam 6 petang, setelah menunggu 2 jam. Salur darah di kakinya tersumbat.
Esoknya, saya dimaklumkan oleh anaknya Mohamad Rafie, ayahnya mungkin dirujuk ke IJN dengan kondisi kesihatannya yang tidak didedahkan. Saya masuk menemui Azizan di ICU KMC jam 2 petang, dia mengalirkan air mata setelah saya mencium tangannya yang sedang terbaring. Saya tak mampu menahan lelehan airmata yang makin laju. "Sik macam mana dah? Aku tau hang pulun nak bagi menang jugak, tapi ni semua takdir Allah. Kita terlepas satu beban yang sangat besar. Hang bayangkan kalau kita menang, dan aku ada dalam wad, tentu kacau bilau lebih besaq daripada awal 2012 hari tu". "Tak pa lah Ustaz, tok sah dok pikiaq pasai politik lagi, kita berubat bagi lega dulu". Aku jawab perlahan memujuknya.
"Kaki aku kebas, tak rasa apa-apa. Hang angkat aku sat, aku nak pi bilik ayaq". Sejak beberapa bulan terakhir, terutama ketika dia mengadu tentang calon-calon PAS Kedah, tekanan dalaman parti, sikap rakan-rakan parti, caci maki melalui SMS yang diterimanya, saya sering sebak dan buntu. Apa lagi yang tak kena, apa salah aku apa dosa kita... Dia merungut. Tak ada siapa mai habaq dosa apa yang aku buat, main hentam jauh- jauh saja. Mai lah cakap depan aku, apa salah aku. La ni semua pi panjat tangga Pejabat Agong, kita di negeri dah tak laku. Biaq depa jawablah.
Beberapa kali dia menyatakan pada waktu ini PAS memiliki terlalu ramai pencatur politik ( munawarah al-siasiyah) dan kita ketandusan Al-Murabituun dalam jemaah. Saya hanya mendengar dan membayangkan masa depan parti yang kian mencabar. "Hang talipon bagitau Cikgu Pa, tanya dia aku nak lepas jawatan Pesuruhjaya, minta pandangan dia, nak letak la ni ka atau lepas muktamar"?
MB Kedah yang baru, Dato' Mukhriz sampai jam 3.00 petang. Saya melihat dan mendengar perbualan mereka, seperti seorang bapa bercakap dengan anaknya, tapi penuh hormat dan sopan. Ustaz Azizan meminta dua perkara untuk diberi perhatian atas kerja kerasnya selama 5 tahun, diteruskan. " Saya nak minta tolong pada Dato' dua perkara, pertama tentang KUIN dan kedua tolong teruskan pembinaan Ma'ahad Tahfiz Sains Pulau Tuba. Semua bajet untuk itu sudah diluluskan". Dia masih sempat bergurau tentang beberapa perkara. Sewaktu melangkah keluar dari bilik, MB Kedah itu bersalam dengan aku dan berpesan. "Jaga Ustaz elok-elok".
Saya mengiringi Azizan ke General Hospital Pulau Pinang jam 3.30 petang hari selasa 7 Mei 2013. Bersama saya anaknya Mohamad Rafie dan rakan lamanya Saudara Mazlan. Sampai sana jam 5 petang, terus ke unit kecemasan. Azizan masih sedar dan berbual. Dia berpesan beberapa kali supaya terus bekerja memajukan PAS. Dia masih bertanya beberapa orang calon yang menang dan yang tewas, termasuk Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuddin di Kepala Batas.
Dia haus dan dahaga. Saya meminta cawan dan straw, dia minum beberapa kali. Dia menjadi cemas dan memanggil saya apabila doktor memaklumkan kakinya tidak dapat diselamatkan lagi. Dia berpesan beberapa kali, "Hang jangan bagi depa potong kaki aku". Saya berjanji akan mencari ikhtiar lain. "Jom kita balik, naik kereta pun tak pa lah". Katanya beberapa kali.
Jam 7.30 malam, Ustaz Ali dari Alor Setar telah menunggu di Bukit Minyak, Bukit Mertajam. Ada seorang pakar yang merawat kesan diabetis yang lebih parah, tak perlu di potong. Saya bercadang membawanya ke sana. Ustaz Ali pernah dirawat di situ. Saya menghubungi ambulan daripada St John Ambulan, untuk membawa dia keluar, atas alasan nak pulang ke KMC, tetapi nak singgah di Bukit Minyak. Ambulan yang lengkap dengan alat bantuan pernafasan hanya boleh datang jam 8.30, saya menunggu tidak sabar lagi. Saya keluarkan wang di mesin RM3 ribu untuk kos ambulan dan rawatannya di Bukit Minyak.
Doktor tidak membenarkan saya mengambil risiko besar untuk membawanya keluar kerana takanan jantungnya tidak stabil. Beberapa kali saya berbincang dengan Tok Puan Faekah untuk mengambil risiko itu, tetapi kondisi terakhir Ustaz Azizan tidak membolehkan kami membawanya keluar. Kena tunggu jantungnya stabil baru kita bawa dia keluar. Saya dan Tok Puan Faekah (saya panggil Kak) akur.
Saya mengambil beberapa keping gambar bahagian kaki Ustaz Azizan dan memecut bersama Mazlan ke Bukit Minyak. Doktor Kumar memberi keyakinan bahawa keadaan seperti itu masih boleh dirawat tanpa pemotongan. Hanya bahagian hujung jari ibu kakinya perlu dibuang. "As long he still conciuos and you can bring him here, his leg can be safe, no need to cut it off". Dia menunjukkan beberapa gambar dalam simpanannya yang lebih parah, kaki yang hitam, isi yang tumbuh kembali selepas rawatan di situ. Saya dan Mazlan lega dan gembira. Saya sudah temui penyelesaian alternaif, amanah Ustaz akan tertunai. Saya membuat temujanji untuk membawa Ustaz Azizan ke klinik itu seawal mungkin, sebaik sahaja dia membuka kliniknya jam 2.00 petang.
Saya kembali kepada Ustaz Azizan, memberi keyakinan kepadanya bahawa kakinya boleh diselamatkan. Dia tersenyum. "Jom kita pi la ni". Dia cuba bangun. Saya dan Kak Faekah menerangkan nasihat doktor yang sedang menstabilkan jantungnya. "Kita pi esok jam 2.00 petang. Ustaz tidoq dulu bagi jantung stabil, jam 12.00 tengahari esok saya akan mai dan bawa Ustaz keluar. Ambulan saya sudah panggil, depa dah ready untuk esok."
"Kalau macam tu, hang balik lah dulu, aku nak tidoq, kita jumpa esok". Kata Ustaz Azizan. Saya menunggu hingga semua anak menantunya datang. Mereka masih berbual dengan Ustaz Azizan, dan dipesan macam-macam perkara sewaktu saya bergerak pulang untuk mengambil pakaian. Jam 3 pagi saya sampai di rumah.
Jam 5.30 pagi, Kak Faekah menelefon tiga kali memaklumkan Ustaz tenat dan koma. Saya bertanya beberapa kali, betulkah berita ni, sapa yang bagitau Kak? Ahmad (anak Ustaz Azizan yang menunggu di wad) yang telepon bagitau, Kak dok bersiap nak pi la ni. Jawab Kak Faekah. "Ahmad tau ka tenat ka nazak tu macam mana, dia reti ka Kak?" Doktor yang bagitau dia.... Mendengar itu saya bingkas mencapai seluar, bergegas ke Pulau Pinang dengan Mazlan dan Shahril Rizal, bekas pengiring Ustaz yang diarahkan kembali melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah. Dia tidak diperlukan lagi di Pejabat Menteri Besar kerana sudah ada yang bersiap menggantikannya. Katanya dari Bukit Aman.
Saya masih berdoa Ustaz akan sedar dan mampu dibawa keluar jam 12 tengahari nanti. Di wad CCU, ustaz sedang dibantu dengan alat bantuan pernafasan, lebam hitam di kaki kanannya sudah melarat ke sebelah kiri, melepasi lututnya, terlalu pantas dan luar biasa. Kakinya sejuk. Dia bernafas menerusi mulutnya saja. Saya terus berdoa, membaca Yaasin dan membisikkan talqin. Dia seperti mendengar dan mengajuk. Kelopak matanya berkedip-kedip.
Saya memaklumkan kepada pimpinan dan kawan-kawan dalam PAS Kedah kondisi semasa Ustaz Azizan. Jam 10.30 pagi panggilan mula masuk meminta pengesahan, benarkah Ustaz Azizan sudah tiada? Ada sebaran sms dan tulisan di blog ke seluruh negara bahawa ustaz sudah meninggal. Dari jam 10.30 hingga jam 1.00, telefon saya tidak berhenti berdering, saling bertindih panggilan yang masuk. Jawapan saya ringkas dan cepat. "Ustaz masih hidup, tetapi sedang koma, berita kematian itu palsu".
Jam 2.00 saya ke surau, solat Zohor dalam fikiran yang bercelaru. Ustaz tak dapat di bawa ke Bukit Minyak, walaupun semua persiapan telah dibuat. Berita palsu ini pula sengaja dimainkan. Saya membayangkan perasaan anak-anak dan isteri-isterinya. Saya solat dengan En Zahari, Pegawai Daerah Yan. Dia mendahului saya saya satu rakaat. Saya masukkan handphone yang hampir habis bateri itu ke dalam beg sandang, sesudah berwuduk. Saya sandarkan beg itu di tiang di belakang saf saya, dan memulakan solat jamak dan qasar.
Saya berpaling ke belakang sesudah berdoa. Beg sudah tiada. Saya meraba poket, alhamdulillah, dompet yang tidak berduit masih ada, semua duit ada dalam beg, termasuk bekalan yang saya siapkan untuk ambulan dan rawatan di Bukit Minyak. Saya buntu dan mati kutu. Handphone saya ada dalam beg itu. Saya mengingati apa lagi yang ada. Aduhhh! iPad, pendrive, charger, parfume, pisau belati, buku cek, bil-bil, dan banyak lagi.
Saya memaklumkan kepada Ustaz Hafiz Nordin yang kebetulan ada di situ, dia cuba mendail nombor saya, tiada jawapan. Dia memanggil kawannya di syarikat telekomunikasi untuk menamatkan talian saya, semua urusan itu selesai di tanggnya.
Saya ke hulu ke hilir, mencari dalam tong sampah, belakang surau, dalam longkang dan tempat-tempat tersembunyi. Tiada!
Hingga malam itu, saya tidak dapat update keadaan semasa Astaz Azizan. Ada sedikit masa terluang, saya ke maxis, ambil simcard baru dan sain kontrak baru untuk dapatkan telefon yang lebih murah.
Saya update di facebook tentang kehilangan itu, ramai yang simpati dan berdoa. Sejak hilang pada hari Rabu, saya tak terfikirkan apa-apa tentang beg itu. Duit dan semua isi beg sudah ditakdirkan menjadi rezeki pencuri. Saya berdoa supaya dia memulangkan apa yang dia tidak perlukan. Saya halalkan apa yang sudah diambil dan dibelanjakan. Kalau dipulangkan handphone dan iPad saya itupun sudah satu rahmat besar buat saya.
Ketika membawa dua anak kecil ustaz ke Chowrasta membeli pakaian dan keperluan diri, saya menerima panggilan daripada seorang wanita. "Adakah encik kehilangan iPad?" Ya! Saya menjawab." Saya terkedu, seperti tak percaya bila mendengar beg saya ada padanya. Saya menunggu di Balai Polis Lebuh Keramat, hingga dia datang bersama ibunya. " Panjang ceritanya Encik, adakah encik mahu report polis kes ini?" Saya kata tak perlulah, asalkan saya dapat balik iPad saya.
Saya belanja mereka minum. Beg itu dicuri oleh seorang pemuda penagih dadah, seorang anak muda 27 tahun yang dipelihara oleh ibu tirinya. Ayahnya berkahwin dua, isteri pertama ayahnya memelihara dua anak angkat dengan penuh kasih sayang, tetapi menjadi penagih dadah. Ibu peliharaanya itu jatuh sakit dan tak mampu lagi mengawal anak belanya itu. Dia anak isteri kedua ayahnya, tetapi sesekali dikunjungi oleh 'abangnya' itu meminta wang atau menumpang tidur. Pada tengahari hari rabu, 'abangnya' datang meninggalkan sebuah beg berwarna coklat, katanya beg itu milik kawannya.
Dia kurang percaya dan mula memeriksa beg itu, dia menelefon saya dengan maklumat yang diperolehi dari iPad saya. Handphone dan wang tunai sudah lesap, tetapi saya tetap bersyukur. Saya menghubungi ibu pemuda itu yang sedang sakit, nombor telepon saya ambil dari anak tirinya. Saya memaklumkan hal anaknya mencuri beg dan saya sudah mendapatkannya semula. Saya ucapkan terima kasih dan memberi sedikit nasihat. Saya ingin bertemu Mohd Nasrul Bin Daud!
Saya pulang ke rumah selepas 5 hari di Penang. Anak saya demam dan isteri saya masih di klinik, sakit perut. Ustaz Azizan masih terlantar, anak-anaknya, isteri-isterinya saya sudah aturkan penempatan dan pergerakan mereka. Moga semuanya bersabar. Kita jumpa esok!
          Sanusi Md Nor,

Isnin, 15 April 2013

DATUK MUKHRIZ CALON DUN AYER HITAM : CALON MB KEDAH




DATUK MUKHRIZ TUN MAHATHIR BAKAL MB KEDAH

Siapa calon MB Kedah selepas PRU13 andai Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Kedah?. Biarpun Isu ini dikatakan sensitif untuk diperkatakan, namun ianya harus diselesaikan sebelum menjelang pembubaran Parlimen.

Barisan Nasional harus mengambil pengajaran daripada kesilapan yang dilakukan oleh Tun Abdullah iaitu tidak menyelesaikan soal Menteri Besar sebelum PRU12 termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang.

Antara penyumbang kekalahan BN di Pulau Pinang ialah isu perlantikan Ketua Menteri yang tidak diselesaikan sehingga hari terakhir berkempen. Pak Lah masih berteka-teki iau ini akhirnya orang Cina Pulau Pinang hilang keyakinan kerana bimbang bila BN menang jawatan Ketua Menteri akan jatuh ketangan UMNO.

Di Kedah Beberapa nama sebelum ini menjadi sebutan sebagai Menteri Besar. Antaranya Datuk Mukhriz Tun Mahathir. Nama Mukhriz sentiasa meniti dibibir rakyat negeri Kedah samada daripada kalangan BN dan pembangkang.


Daripada perwatakan, Mukhriz mempu menambat hati pelbagai lapisan masyarakat di negeri Kedah. Kreabilitinya sebagai anak Tun Mahathir menyinarkankan lagi namanya dimata rakyat Kedah.  

Keputusan pucuk pimpinan meletakan Mukhris bertanding di kawasan Dun Ayer Hitam mengesahkan lagi cakap-cakap beliau menjadi Menteri Besar Kedah bila BN kembali berkuasa.

Keputusan meletakkan beliau sebagai calon Ayer Hitam dan Bakal Menteri Besar akan memberi keyakinan besar pengundi di Kedah untuk memberi sokongan jitu kepada BN.

Pembangkang di Kedah yang sedang menghadapi krisis kepimpinan dan perebutan kawasan dilihat berdepan dengan kekalahan dalam Pru akan datang. Krisis dalaman Pas yang wujud beberapa kem, kem Datuk Seri Azizan Razak, kem Fhahrolrazi Zawawi dan kem Mahfuz dan Anwarisme diterajui Mat Sabu membuka ruang kepada BN untuk kembali berkuasa di Kedah.

Secara jelas pemilihan Mukhriz satu yang tepat pada masanya.  

Sebelum ini antara yang disebut-sebut adalah Dato Shahlan Ismail Setiusaha Politik Perdana Menteri. Namun keputusan meletak beliau bertanding di Parlimen Pokok Sena melenyapkan ura-ura beliau sebagai calon MB.
 
Seorang calon lagi yang disebut sebelum ini ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang juga bekas ADUN Bakar Bata, namun keputusan pucuk pimpinan tidak meletakkan beliau sebagai calon melenyapkan impian beliau untuk menduduki kerusi MB Kedah yang panas sepanjang zaman.

Orang Kedah berpandangan satu pembaruan kepimpinan harus ditonjolkan oleh UMNO dan BN andai parti itu ingin kembali memerintah. Kehadiran Mukhriz melegakan semua pihak termasuk mereka yang menyokong Pas dan PKR.

Sebagai langkah mengembalikan keyakinan rakyat Kedah kepada UMNO dan BN langkah Datuk Seri Najib Tun Razak menonjolkan Mukhris sebagai calon DUN dan secara langsung sebagai calon MB pasti akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN.

Penampilan semula “wakil rakyat kalah” dalam PRU13 harus dielakan. Inilah strategi digunakan dalam PRU ke 11 di Kelantan dimana penampilan semula “wakil rakyat kalah” dielakan dan akhirnya UMNO menang dengan majority besar pada 2004.


Kini isu campur tangan tingkat 4 yang dikatakan faktor terbesar iaitu 70% kekalahan UMNO dan BN dalam PRU13 tiada lagi.   Tun Mahathir dan tokoh-tokoh besar UMNO kini kembali menyokong UMNO. Senjata utama UMNO jangan bertelagah dan jangan chah keting dalam PRU13.

Kehadiran Tun Mahathir turun gelanggang berkempen habis-habisan merupakan satu “geliga” penyembuh sakit yang sedang melanda BN.


Rabu, 3 April 2013

PARLIMEN KE 12 BUBAR HARI INI



YDP AGONG MENANDATANGANI WATIKAH PEMBUBARAN PARLIMEN KE 12

 Seri Paduka Baginda Yang DiPetuan Agung berkenan membubar Parlimen ke 12 berkuatkuasa hari ini.

Berikut ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengumumkan pembubaran Parlimen, di Putrajaya hari ini.

"Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Msia bahawa pada pagi ini telah mengadap Yang d-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen Ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu 3 April 2013.
Datuk Seri Najib mengumumkan pembubaran
Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuatkuasa hari ini
Sehubungan dengan itu, saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk mengadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran DUN masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.
Rakyat Malaysia yang dikasihi.
Hari ini empat tahun lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai PM negara Malaysia yang tercinta.
Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama TPM, anggota jemaah menteri dan anggota pentadbiran yang lain telah pun dengan segala ikhtiar dan upaya, mencetuskan dan melaksanakan pembaharuan serta perubahan berpaksikan kepada falsafah 1 Malaysia, rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.
Dalam tempoh 4 tahun yang lepas, rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana program, perancangan serta dasar transformasi nasional yang melibatkan program transformasi kerajaan, ekonomi, politik dan sosial telah dilaksanakan dan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan memakmurkan negara.
Kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah yang meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji, menepati janji, kami sebuah kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan melaksanakannya, bukan sikap kami menanam tebu di bibir.
Semuanya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan track rekod kami sepanjang 4 tahun yang lalu. Rakyat Malaysia yang dikasihi, pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ke-13 untuk negara semenjak tahun 1959. Iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum yang pertama selepas merdeka.
Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.
Sejarah telah menunjukkan bahawa kebunggaran demokrasi telah berjaya menyediakan asas-asas yang subur untuk kestabilan dan keamanan nasional yang telah dinikmati warga negara ini selama lebih 5 dekad.
Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional.
Semua parti politik yang memilih untuk terlibat dalam pilihan raya umum kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.
Insaflah dan ambillah iktibar daripada apa yang berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan dan akhirnya keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik-taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.
Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di malaysia sejak merdeka lagi, proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus.
Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun di peringkat Negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia.
Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan. Malah jika ditangani dan diuruskan secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat, yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara.
Marilah kita sama-sama sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibaut oleh rakyat.
Marilah kita bersama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar aman, lancar dan selamat.
Rakyat Malaysia yang dikasihi, saya inign beri jaminan bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya.
Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib.
Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi. Inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik. Inilah komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan rakyat.
Kepada semua rakyat Malaysia terutama yang tinggal di pantai timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia. Pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting. Jangan bazirkan ia. Jangan pertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia.
Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan. Ini kerana undi saudara saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua.
Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi juga memilih kerajaan yang akan mendokong aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi, saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk memimpin tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.
Di sini saya selaku ketua kerajaan Barisan (BN) ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada rakyat Malaysia kepada kami kerajaan Barisan nasional (BN) untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas.
Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan Barisan Nasional (BN) akan turun dan bertemu dengan rakyat seluruh pelosok negara bagi meyakinkan rakyat Malaysia kenapa kami Barisana Nasional (BN) perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.
Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi insya Allah untuk melipat gandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua.
Ayuh, teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi.
Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik. Ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang wujud.
Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti.
Malaysia yang maju, makmur dan selamat penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua.
Demi Malaysia usaha bakti kita curahkan, kepada Tuhan kita berserah. 

Selasa, 26 Mac 2013

ABAIKAN ANWAR



Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin menyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan tugasnya dengan begitu baik dan patut diberikan mandat untuk menerajui negara dan meneruskan dasar-dasar transformasi beliau.

Menggesa pengundi agar memberi peluang kepada Najib untuk lima tahun lagi, veteran Umno itu berkata: "Uji beliau. Berikan beliau mandat. Beliau telah melakukan tugasnya dengan begitu baik. Biar beliau melaksanakannya dan meneruskan dasar-dasar transformasi beliau." 

Dalam wawancara dengan New Sunday Times, Daim menyatakan yang beliau lebih suka sekiranya Najib menang berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau sifatkan sebagai bukan calon yang tepat untuk menjadi perdana menteri.

"Jika anda tanya saya, antara kedua-duanya, Najib atau Anwar, saya akan pilih Najib. Saya akan beri Najib peluang. Beri beliau mandat dan lihat sama ada beliau dapat melakukannya kerana Anwar telah pernah diberi peluang itu, tetapi beliau mensia-siakannya. 

"Saya mahu Najib menang kerana saya berpendapat Anwar bukan calon yang tepat untuk menjadi perdana menteri," katanya. 

"Saya percaya beliau akan kucar-kacirkan negara dengan mendapatkan nasihat daripada pihak seperti IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), Bank Dunia dan Wolfowitz (Paul Wolfowitz, bekas presiden Bank Dunia)," katanya.

Daim, yang menjadi Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991 dan sebagai Menteri Tugas-tugas Khas pada 1998 sebelum dilantik semula sebagai Menteri Kewangan dari 1999 hingga 2001, berkata adalah bahaya jika pembangkang di bawah pimpinan Anwar menerajui negara.

"Saya bimbang kerana beliau tidak arif mengenai ekonomi, sentiasa perlukan orang lain untuk beritahu beliau – apa yang perlu difikirkan dan apa yang perlu dilakukan," katanya. 

Setakat ini, katanya, tidak ada satu pun idea signifikan datang daripada Anwar selaku penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor. Lebih teruk lagi, Selangor gagal mengendalikan isu air, yang telah mengecewakan kalangan pemaju perumahan, pelabur dan rakyat.

"Kenapa beliau (Anwar) tidak menjadi penasihat ekonomi kepada Kelantan dan Kedah jika Pakatan percaya beliau bagus? Fikirkannya secara serius. Fikirkan masa depan kita," katanya.

Kepada soalan bahawa Anwar percaya bahawa beliau telah ditakdirkan untuk menjadi perdana menteri akan datang, Daim berkata: "Sebenarnya, takdir ditentukan Tuhan. Anda mungkin sudah begitu hampir dengan jawatan itu, orang menyokong, Tuhan yang menentukannya. Saya rasa Tuhan masih sayangkan Malaysia." 

Daim berkata beliau akan menyokong Najib tetapi perdana menteri perlu berusaha memerangi rasuah dan jenayah, memperkukuhkan keselamatan negara dan menyemak semula sistem pendidikan.

Beliau berkata Najib juga perlu merombak Kabinet.

"Bawa masuk muka-muka baharu. Rakyat berpendapat beliau mengekalkan terlalu banyak "orang lama" dalam Kabinet. Kebanyakan mereka sudah melepasi "tarikh luput"," katanya. 

Mengenai peluang BN pada pilihan raya umum akan datang, Daim, yang ramalannya sering menjadi perhatian, berkata BN boleh menang tetapi perlu ada perpaduan dalam kalangan parti gabungan.

"Umno mempunyai kira-kira 3.3 juta ahli, MCA, kira-kira satu juta dan MIC, kira-kira 600,000. Itu sahaja sudah kira-kira separuh daripada pengundi.

"Kini, anda hanya perlukan mendapatkan sokongan daripada golongan atas pagar, dengan itu anda mampu menang. Tetapi BN perlu letakkan calon-calon terdiri muka baharu dan bersih yang diterima oleh pengundi," katanya.

Daim berkata sekiranya BN tidak bersatu, kedudukan pakatan pembangkang akan menjadi lebih baik sepertimana yang berlaku pada 2008.  

"Kekal bersatu, setia dan jangan sabotaj. Kita perlukan 'tangan' yang mantap dan berpengalaman. Hanya BN mempunyai pengalaman itu.

"Kita telah berjaya mengharungi krisis demi krisis, dan kembali pulih dengan cepat. Kita perlu beritahu orang China yang kita tidak boleh melakukan eksperimen. Lihat sahaja Jepun. Lihat di sekeliling kita. Lihat sahaja Britain. Kaji apa yang berlaku," katanya.

Daim berkata Anwar telah berulang kali menyatakan akan berlaku demonstrasi ala Arab Spring sekiranya pembangkang kalah dalam pilihan raya umum akan datang kerana apa yang mereka anggap sebagai "penipuan".

"Beliau (Anwar) telah mewujudkan pentas untuk mewajarkan kekalahan mereka sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya umum akan datang. Pakatan telah menyediakan rakyat supaya mereka boleh menyalahkan kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya. 

"Pertamanya, kita bukannya sebuah negara Arab. Dan keduanya, sekiranya wujud "penipuan" pada pilihan raya umum sebelum ini, bagaimana Pakatan boleh menang di lima negeri pada 2008?  
 
Arab Spring telah bertukar menjadi Arab Fall  - Tun Daim
"Arab Spring telah bertukar menjadi Arab Fall (kerana kalangan pemimpin tidak bersatu dan kestabilan terjejas)," katanya.

Rabu, 20 Mac 2013

AKSI TERBAIK ADUN PAS







Aksi terbaik adun Pas kawasan Sanglang Perlis Hashim Jasin dengan kereta spot. Hashim menafika kereta itu milik beliau tetapi milik anaknya. Namun dukumen yang diperolehi tercatit namanya pemilik kenderaan berkenaan.

Kayo..kayo kalau tak kayo cam na nak beli kereta ni

HASHIM JASIN ADUN SANGLANG