Keghairahan Pakatan Rakyat merayakan kemasukan Adun Bota dari BN, Datuk Nasaruddin Hashim dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba-tiba menjadi terkedu dengan tindakan dua wakil rakyat PKR yang di katakana “ghaib”.
Semasa meraikan kemasukan Nasaruddin pemimpin pembangkang melempar pelbagai tohmahan terhadap UMNO sehingga ada yang mengganggap UMNO ini umpama pokok mati. Ada dikalangan pemimpin mereka menyifatkan ianya adalah tepat pada masanya. Hanya dengan kemasukan “Yup Nasa” Pakatan Rakyat terus membuat fatwa bahawa BN dan UMNO tidak relevan lagi.
Sebelum ini Pemimpin Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali mencanang akan lebih ramai wakil rakyat BN akan melompat parti menyertai Pakatan Rakyat.
Umno dan BN tidak pernah bercakap sebelum ini tentang wakil rakyat pembangkang akan menyertai BN. Malah apabila “Yup Nasa” bertindak keluar UMNO dan BN kerana “merajuk” atau “bebal” pemimpin UMNO dan BN menerima dengan penuh “tabah”.
Tepat kata pepatah, sarang tebuan jangan di jolok, diam-diam ubi rupa-rupanya berisi. Datuk Seri Tajol Rosli yang kelihatan amat kecewa dengan Nasaruddin mula menunjuk taring, beliau bingkas bangun dengan kekuatan dalaman yang ada padanya ditambah dokongan dan sokongan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kini buku bertemu ruas! Tajol tidak mengaum dan menyalak seperti di buat oleh Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Nizar Jamaluddin serta kuncu-kuncunya. Ular menyusur akar tiada hilang bisanya. Itulah strategi yang digunakan oleh Tajol dalam usaha mengembalikan aib yang dicalarkan oleh Nasaruddin terhadap UMNO Perak.
“Meletup” cerita kedua-dua ADUN PKR ghaib. Ghah dan panik Pakatan Rakyat. Selaku Ketua Pembangkang Anwar pasti lebih tersentak dengan tindakan dua orang anak buahnya. Kelemahan Anwar yang selama ini dianggap “pakar gerak saraf” terbukti apabila beliau gagal menghidu tindak tanduk anak buahnya sendiri. Nampak gaya yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran.
Kegopohan kerajaan pimpinan Muhamad Nizar jelas terpampang apabila terus memanjangkan surat perletakan jawatan yang telah dipaksa tandatangani oleh ADUN berkenaan pada Mac lepas melalui Speker Dewan Undangan Negeri Perak kepada Suruhanjaya Pilihanraya negeri Perak sedangkan mereka belum membuat sebarang pengumuman samada telah keluar atau tidak dari PKR.
Kegawatan dan kemelut terus menghantui kerajaan negeri Perak setelah Speaker Dewan Undangan negeri V. Sivakumar mengumumkan pagi ini bahawa beliau telah memanjangkan surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN berkenaan yang kononnya diterima petang semalam kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Perak Ahmad Adli Abdullah.
Sementara kedua-dua ADUN berkenaan menafikan mereka telah meletak jawatan dan mereka tidak membuat sebarang pengumuman keluar daripada PKR.
Malah Pengerusi PKR Perak Osman Abdul Rahman turut menafikan kedua-dua “anak buahnya” telah bertindak keluar daripda PKR kerana mereka tidak membuat sebarang pengumuman keluar daripada parti itu.
Jelas kepada umum Pakatan Rakyat begitu panik dengan apa yang berlaku berbanding UMNO dan BN. Terbukti mereka begitu takut pada bayang-bayang. Apa yang akan berlaku jika kedua-dua wakil rakyat berkenaan terus kekal dalam PKR dan menjelma sehari dua nanti. Apa yang akan terjadi kerana Speaker telah memaklumkan kepada SPR bahawa kerusi berkenaan telah kosong?.
Tajol akan mengadap DYMM Sultan Perak hari ini. Saya yakin, baginda Sultan yang amat arif dalam undang-undang dan pentadbiran akan membuat sesuatu keputusan yang akan meredakan politik Perak.
Tajol yang sentiasa tenang pasti akan bertindak lebih rasional dan lebih arif serta bijaksana berbanding Nizar. Paling terkedu dalam kes ini ialah pemimpin-pemimpin DAP dan paling panik pemimpin PAS. Malah yang paling cemas ialah Anwar selaku ketua pembangkang yang selama ini mencanang pelbagai cerita rekaan dan khayalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan