Isnin, 15 Disember 2008

MUKHRIZ TOKOH KETUA PEMUDA UMNO TERBAIK

Teka-teki mengenai pencalonan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO kini telah terjawab. Dengan "aura" yang dimiliki, Datuk Mukhriz Tun Mahathir tampil sebagai calon yang pertama melayakan diri dalam pemilihan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO diikuti oleh Datuk Seri Khir Toyo dan menantu Perdana Menteri Khairy Jamaluddin.

Dengan ketokohan yang sedia ada, Mukhriz yang jug ahli Parlimen Jerlun meluncur laju meninggalkan calon lain ke belakang. Ini memeranjatkan semua pihak yang selama ini berkiblatkan Khairy Jamaluddin sebagai peneraju. Bukan sahaja ahli UMNO yang terkejut, malah pemerhati dan mereka yang sebelum ini telah menarik sokongan kepada UMNO melahirkan rasa bangga di atas kejayaan awal Mukhriz.

Saya ingin memetik kata-kata yang terucap di salah sebuah restoran ketika Berita jam 8 menyiarkan Mukhriz telah melepasi kuota pencalonan. “Inilah yang kita nak…..pemimpin hebat macam ni” ujar sekelompok mereka yang saya kenal sebelum ini telah menarik diri daripada UMNO kerana kecewa dengan situasi yang semua Kita maklum.

Umum mengetahui, Mukhriz amat lantang menyuarakan pandangan, pendapat dan kritikan dalam apa jua yang isu yang timbul dengan penuh kejujuran demi parti, agama, bangsa dan negara. Malah demi menyelamatkan UMNO, Mukhriz merupakan anggota UMNO yang pertama menyuarakan pandangan meminta Perdana Menteri dan Presiden UMNO berundur.

Segala-galanya dilakukan kerana UMNO. Lantas Mukhriz diasak bertubi-tubi orang mereka yang berkepentingan sehingga ada pihak yang menyuarakan pandangan supaya beliau disingkirkan daripada UMNO.

Namun Mukhriz tidak berganjak, setelah "deadline" diberi kepada Pak Lah supaya berundur pada Julai 2008 tidak diendahkan maka Mukhriz sekali lagi memberi "deadline" terbaru kepada Pak Lah supaya mengumumkan keputusannya untuk mengosongkan jawatan berkenaan selewat-lewatnya Oktober ini.

Mukhriz bukan mendapat laluan yang mudah. Tiada “red carpet” buatnya. Beliau terpaksa memanjat tangga bersendirian bukan masuk melalui “tingkap” seperti yang dibuat oleh calon tertentu. Percubaan kali pertama beliau pada pemilihan yang lepas gagal setelah ada calon yang berjaya menerjah diri melalui tingkap. Akhirnya Mukhriz tersingkir. Malah semasa beliau menjadi calon Parlimen Jerlun, beliau berhadapan dengan pelbagai kesukaran, onak dan duri, api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan duri dalam daging. Biarpun ramai yang datang untuk membantu beliau pada ketika itu, malah ramai juga yang datang untuk mengalahkan beliau dalam pilihanraya berkenaan.

Berdasarkan senario pada hari ini yang menampakkan ahli UMNO akar umbi sememangnya inginkan perubahan bagi memulih semula UMNO dan Barisan Nasional. Golongan Pemuda mula menunjuk taring dan keberanian untuk membuat arus perubahan. Sebagai seorang tokoh Pemuda, Mukhriz langsung tidak pernah dikaitkan dengan isu-isu peribadi yang penuh kontroversi sepertimana calon lain.

Malah beliau langsung tidak pernah mengaitkan status kekeluargaan untuk politik peribadi. Beliau muncul secara aktif dalam arena politik setelah Tun Dr Mahathir Mohamad berundur.

Menjelang Perhimpunan Agung Pergerakan UMNO Mac akan datang, seluruh ahli dan perwakilan UMNO harus bermuhasabah diri. Mereka harus meletakan kepentingan parti daripada mana-mana kepentingan. Berdasarkan pencalonan majoriti pergerakan UMNO mahu Mukhriz menerajui Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Lantas itu mereka harus bertindak bijak lagi berani untuk terus memberi sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Mukhriz. Jika boleh diandaikan biarlah Mukhriz mendahului pencalonan dengan meninggalkan calon lain dengan majoriti yang besar.

Namun jika Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO terbabit masih belum mahu menjejaki arus perubahan yang sedang dilakukan pada akar umbi dengan memberi laluan kepada calon lain, mereka jangan kesal dan jangan kecewa jika rakyat terus memberi hukuman kepada UMNO pada pilihanraya akan datang.

Kepada perwakilan UMNO yang telah mencalonkan Mukhriz, saya ucapkan tahniah saya yakin keputusan mereka akan membawa rahmat buat UMNO. Arus perubahan yang sedang dilakukan amat dinanti-nanti oleh semua pihak termasuk mereka yang berada di luar UMNO yang sebelum ini telah menangguhkan sokongan kepada UMNO.

Saya yakin arus perubahan ini akan mengembalikan sokongan padu rakyat kepada UMNO. Kepada bahagian yang belum bersidang, selamat bersidang dan selamat membuat arus perubahan dan berilah pencalonan kepada Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Kepada Mukhriz, saya ucapkan selamat berjuang, setulus doa sentiasa mengiringi beliau untuk berjaya memimpin Pergerakan Pemuda UMNO. Dengan harapan kejayaan beliau akan memberi nafas baru kepada UMNO dan bangsa Melayu dan Islam serta seluruh warga Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan