Isnin, 15 Disember 2008

BERSIHKAN PAS DARI MAZHAB ANWAR

Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara, sudah kelihatan kelibat dalam PAS yang lebih menyanjungi dan taksub kepada Ketua Umum PKR itu daripada pemimpin PAS.

Seolah-olah sudah ada satu perancangan yang disusun agar fahaman Anwar dapat diresapi ke dalam PAS.Umum semua mengetahui sebelum Anwar dipecat daripada Kabinet dan jawatan Timbalan Presiden UMNO, Anwar dijadikan sasaran pihak pembangkang terutama pemimpin PAS.

Jika kita teliti ucapan atau ceramah-ceramah politik, banyak gelaran yang jijik dan kurang baik untuk didengar diberikan oleh pemimpin PAS pada ketika itu.Malah pemimpin PAS sendiri meminta Anwar menafi dan mengambil tindakan mahkamah terhadap dakwaan yang mereka lemparkannya terhadapnya ketika itu.

Malah media rasmi PAS Harakah, turut menyiarkan gambar aksi Anwar termasuk gambar Anwar menerima duit judi pada 20 Januari 1994 di Jalan Jelatek, Ampang, Kuala Lumpur. Gambar ini disiarkan selepas Akhbar Watan menyiarkan gambar berkenaan di muka depan.

Harakah jug apernah menyiarkan berita muka depan mendesak Perdana Menteri Ketika itu Datuk Seru Dr Mahathir Mohamed (Tun) memecat Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Namun apabila Anwar dipecat, kita lihat pemimpin PAS bertindak di luar dugaan. Akhbar Harakah yang selama ini melanyak Anwar tetiba terus membela Anwar. Umum mengetahui bahawa PAS ingin mendapat keuntungan politik dari isu Anwar. Memang terbukti pada pilihanraya umum 1999.Tetapi yang lebih mendapat untung adalah DAP.

Namun dalam pilihanraya umum ke 12, terbukti isu yang dimainkan oleh PAS tidak lagi menguntungkan PAS. PKR dan DAP pula mendapat untung daripada isu Anwar.Apa yang lebih pelik ialah tindakan beberapa orang kuat Anwar yang tidak menyertai PKR yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang jelas matlamat utama ditubuh parti ini untuk membela Anwar yang kononnya dianiaya oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad.Pemimpin berkenaan lebih mengambil pendekatan untuk menyertai PAS. Sedangkan sebelum ini mereka bermati-matian berjuang membela Anwar yang kononnya teraniaya.

Jika dilihat dari satu sudut seolah-olah ada satu perancangan jangka panjang yang disusun atur oleh pengikut Anwar untuk menyusup masuk dan meresapi ke dalam PAS bagi mengembangkan fahaman dan mazhab Anwar.Mereka seolah-olah sedar bahawa jika hendak diharapkan PKR sudah pasti perjuangan untuk membela Anwar dan mempastikan agenda perjuangannya tidak dapat direalisasi tentu tidak terlaksana.Mereka tentu telah mengambil pengajaran bagaimana pakatan pembangkang gagal dipertengahan jalan kerana asas perjuangan dan matlamatnya berbeza-beza.

Semasa Allahyarham Datuk Fadzil Noor menjadi presiden PAS, parti itu telah mengharamkan ahli PAS menyertai Jemaah Islam Malaysia dan mana-mana pertubuhan yang seumpamanya.Lantas itu tertutuplah pintu buat ahli-ahli Jemaah Islam Malaysia (JIM) yang terdiri daripada cerdik pandai daripada menyertai PAS.

Allahyarham Fadzil Noor tentu mempunyai alasan kukuh kerana beliau pada ketika itu berbuat demikian.Mungkin beliau menyedari bahawa majori anggota JIM itu adalah ahli ABIM dan mirip kepada perjuangan Anwar.Namun untuk mengaut sokongan akhirnya PAS membuka pintunya kepada JIM.

Apabila PAS membuka pintu partinya kepada kumpulan ini kelihatan kelibat-kelibat yang pernah bersama-sama Anwar mula mendekati PAS malah telah berjaya mempengaruhi ahli PAS untuk memartabatkan mereka sebagai pemimpin.Tindakan PAS ini bagai orang sudah mengantuk disurung bantal. Mereka yang selama ini merupakan ”orang kuat” Anwar bukan sekadar menumpang tidur malah berusaha merealisasikan mimpi yang dimimpikan oleh mereka dan Anwar di dalam PAS.

Keadaan ini menjadi realiti lagi selepas pembebasan Anwar.Puak-puak yang bermazhab Anwar mula mengusung Anwar ke sana sini dalam setiap siri ceramah PAS. Akhirnya apa yang berlaku populariti Anwar telah menyaingi populariti pemimpin PAS. Keadaan ini lebih parah apabila ahli-ahli PAS mula melihat bahawa Anwar merupakan pilihan terbaik untuk menerajui kepimpinan barisan pembangkang untuk berkuasa.

Suasana ini jelas terbukti menjelang pilihanraya ke 11 dan selepas pilihanraya umum ke 12.Pemimpin-pemimpin yang bermazhab Anwar telah berjaya merealissikan asas perjuangan Anwar di mana PAS tidak lagi meletakan penubuhan negara Islam sebagai asas perjuangan utamanya. Sejak dalam pilihanraya ke 11 PAS tidak lagi bercakap soal penubuhan negara Islam yang berpelembagaan Islam bertulis.

Begitu juga dalam pilihanraya ke 12, Presiden PAS sendiri telah menegaskan kepada wartawan usah dibangkit dan disoalkan lagi tentang penubuhan negara Islam.Menurut Hadi penubuhan negara Islam bukan lagi agenda dalam pilihanraya ke 12. Apabila berakhirnya pilihanraya ke 12, setelah BN kekurangan majoriti dua pertiga, pemimpin berkenaan sekali lagi berusaha mempengaruhi pemimpin PAS untuk menerima pakai mimpi Anwar untuk menubuh kerajaan dengan acara lompat parti daripada komponen BN.

Sejak itu gula-gula ditaburkan bahawa Anwarlah pemimpin paling layak untuk menjadi Perdana Menteri. Maka sekali lagi Anwar diusung untuk berada di atas pentas PAS bagi menyampaikan hujah menjayakan matlamatnya.Jelas sebagai orang yang bijak berretorik, bijak menggunakan kesempatan semasa orang dalam kepayahan dan kesusahan Anwar berjaya mempengaruhi ahli PAS bahawa dialah calon terbaik daripada kalangan pemimpin pembangkang termasuk dari PAS yang layak menjadi Perdana Menteri menerusi acara lompat parti.

Anwar mengguna tipu helah kononnya dia mempunyai 40 orang ahli parlimen BN untuk menyertai Pakatan pembangkang. Selepas itu jumlah itu semakin hari semkin menurun. Namun tahap kepercayaan di kalangan ahli PAS bertambah. Mereka percaya Anwar orang yang hebat, boleh dipercayai dan layak menjadi Perdana Menteri.Seolah-olah Anwar mempunyai kuasa ghaib “aku kata jadi jadilah”

Akhirnya ahli PAS lupa akan ketokohan pemimpin PAS selama ini. Mereka lupa ulama-ulama PAS yang sememangnya hebat. Mujur menjelang detik 16 September, pemimpin PAS seolah-olah baru tersedar daripada diperdaya oleh juak-juak dan retorik Anwar.Akhirnya wujudlah suara-suara dalaman PAS yang menyatakan pemimpin PAS lebih layak daripada Anwar.

Terdapat juga suara-suara yang mahu sekiranya kerajaan baru mahu ditubuhkan ianya mesti berlandaskan Islam dan pemimpin PAS mesti menerajuinya.Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan gerombolaannya terus membidas kenyataan daripada PAS bahawa DAP menolak sebarang penubuhan negara Islam. Lalu berlaku pertikaman lidah seketika.

Lantas Anwar terus menonjol diri bahawa dialah antara pemimpin pembangkang yang layak menjadi Perdana Menteri terutama selepas menang pilihanraya kecil Permatang Pauh dan dilantik sebagai Ketua Pembangkang.Senario mula berubah apabila muktamar PAS belangsung di Perak bila ada di kalangan perwakilan PAS bangun menyuarakan rasa kurang senang di atas ketaksupan ahli PAS terhadap Anwar sehingga kewibawaan kepemimpinan PAS dilupai.

Malah pemimpin PAS sendiri Haji Hadi Awang secara terbuka menyatakan hasrat Anwar itu umpama angan-angan Mat Jenin. Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali dengan tegasnya juga menyatakan impian Anwar tidak akan menjadi kenyataan.Pada saat terkahir pula Hadi Awang menegaskan PAS tidak akan menyokong mana-mana penubuhan kerajaan yang tidak diasaskan Islam sama ada oleh Anwar atau UMNO.

Jadi bagaimana pula Anwar boleh mendakwa bahawa dia mempunyai 30 ahli parlimen untuk membolehnya mengangkat sumpah?Kalau Pas sendiri telah menarik diri dari awal-awal lagi dan tidak mahu mengiktiraf kerajaan yang ingin ditubuh oleh anwar tentulah jumlah sokongan untuk menubuh kerajaan masih belum mencukupi.

Keghairahan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri pada 16 September telah mengundang satu kesedaran kepada pemimpin PAS. Malah satu malapetaka kepada pakatan pembangkang apabila Hadi Awang secara jelas berkata ”PAS menarik diri” dari bersama Anwar untuk menubuh kerajaan kerana kerajaan itu tidak berasaskan Islam.

Kini 16 September telah berlalu. Seluruh ahli PAS harus muhasabah diri agar tidak terlalu taksub dengan retorik Anwar. Malah mereka harus kembali kepada perjaungan asal PAS dan memartabatkan PAS sebagai sebagaimana dahulu. PAS harus kembali keperjuangan asalnya.Malah harus kembali kepada semangat berparti seperti mana yang diamalkan sebelumnya terutama dalam bermesyuarah demi kepentingan Melayu dan Islam.

Malah PAS harus membuat pembersihan dalam parti dengan menyingkirkan fahaman mazhab Anwar dalam parti berkenaan.Mana-mana pemimpin PAS tidak kira dari mana sekiranya ianya begitu taksub dan terus memperjuangkan kepentingan Anwar dengan menjadikan PAS sebagai landasan kedua bagi mencapai matlamat Anwar maka pemimpin berkenaan harus ditolak.PAS harus sedar 16 September juga mencalar maruah dan kewibawaan PAS. PAS tidak harus membiarkan parti ini dijadikan boneka untuk Anwar mencapai cita-cita dan matlamat politiknya.

Usaha pembersihan harus dilakukan segera sekiranya ahli PAS mahu pemimpin mereka dihormati dan PAS tetap dengan hala tujunya. Jika tidak dilakukan pastinya lama kelamaan perjuangan PAS akan turut pudar dan terhakis akibat permainan ahli dan pemimpin PAS yang bermazhab Anwar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan