Isnin, 29 Disember 2008

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1430

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1430

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430. Semoga kita semua mengambil iktibar apa yang berlaku pada 1429. Semoga 1430 membawa seribu kesinsafan seribu rahmat buat kita semua. Marilah kita sama-sama berazam untuk mempertahankan maruah kesucian agama, bangsa dan negara tercinta.

Marilah kita renung isi kandung Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Negara pada 26 Disember 2008." HIJRAH MEMPERTAHANKAN HAK ISLAM "

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mutakhir ini terdapat cubaan sama ada secara disengajakan atau tidak untuk ‘menggugat’ keistimewaan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Cubaan mencabar Islam dibuat melalui pelbagai cara. Antaranya penganjuran forum, dialog, penyebaran artikel menghina dan merendah-rendahkan Islam menerusi blog dan juga campur tangan dalam upacara keagamaan Islam.

Di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Peruntukkan ini mengiktiraf kedudukan Islam lebih tinggi daripada agama lain, dan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua bagi Persekutuan manakala raja-raja Melayu adalah ketua bagi agama Islam di negeri-negeri berkaitan. Jadi, apabila Islam ditetapkan menjadi agama bagi Persekutuan ia bermakna rakyat dan sistem pemerintahannya mesti seiring iaitu meletakkan Islam sebagai asas utama pentadbiran negara.

Sesungguhnya semangat perundangan dalam Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan menepati dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 19:
Maksudnya: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya."

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kita akui bahawa Islam adalah agama toleransi. Tetapi persoalan besar timbul ialah setakat mana tolak ansur itu diharuskan?. Pada asasnya, hubungan Islam dengan agama lain adalah didasari oleh wasatiah atau kesederhanaan. Pekara ini perlu ditafsir dengan tepat dan jelas agar umat Islam dan bukan Islam tidak terkeliru. Islam tiada tolak ansur dalam persoalan akidah ummah. Namun Islam tidak memaksa pihak lain untuk menerima akidah Islam.

Ini ditegaskan Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 256:
Maksudnya: "Tidak ada paksaan untuk (memeluk) agama (Islam); Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, Maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

Oleh kerana akidah adalah soal hati yang juga disebut sebagai tunjang keimanan, maka penganut bukan Islam di Malaysia boleh mengamalkan ajaran agama mereka dengan damai. Tetapi dalam urusan kehidupan bernegara, kita semua terikat dengan undang-undang negara. Bagi umat Islam kita terikat dengan syariat Allah SWT.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar ini berasa bimbang dan kecewa kerana terdapat segelintir pihak tertentu di negara ini yang membelakangkan undang-undang sehingga berani mencabar kedaulatan Islam. Apa yang sangat mendukacitakan kita ialah apabila ada di kalangan orang Islam sendiri turut terlibat sama yang menyebabkan agama dan umat Islam berpecah belah.

Fenomena ini pernah berlaku di dunia Arab, benua Indo-Pakistan hingga lahir ajaran Sikh, Bahai dan Qadiani. Semua ini asalnya diasaskan oleh sama ada orang Islam atau yang ada kaitan dengan Islam. Di satu pihak lagi, musuh-musuh Islam lebih selesa dan rasa selamat jika memperalatkan orang Islam yang jahil untuk menimbulkan keraguan terhadap agama Islam. Ini disebut strategi tashkik atau membangkitkan rasa syak terhadap agama sendiri.

Apa yang lebih malang lagi ialah terdapat umat Islam yang mungkin tidak sedar permainan ini kerana ia berselindung disebalik topeng kebebasan dan hak asasi manusia. Sebab itu, pelbagai konvensyen antarabangsa cuba dikenakan ke atas negara Islam supaya kita terikat sebagai penandatangan deklarasi tersebut. Hal ini pula berjalan serentak dengan propaganda melalui media antarabangsa. Isu yang selalu diguna adalah isu perjuangan hak wanita dan persamaan hak lelaki dan wanita.

Selain daripada itu, pihak tertentu juga mencuba menimbulkan perasaan was-was dan keraguan terhadap kesahihan agama Islam dengan mencampur adukkan adat istiadat atau nilai Barat sebagai sebahagian daripada ajaran Islam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sempena kehadiran tahun baru hijrah 1430 ini, mimbar yang mulia ini menyeru, marilah kita mendepani perasaan kasih dan sayang kepada Islam dan ummah di negara ini dengan mencontohi hijratur rasul SAW yang memperjuangkan hak Allah dan Islam dengan penuh keazaman dan iltizam. Justeru itu, kita berkewajipan memelihara dan mempertahankan kesucian agama iaitu dengan langkah-langkah berikut:

Pertama: menanamkan kecintaaan dan kasih sayang kepada agama yang merupakan nikmat yang paling besar dalam kehidupan;
Kedua: membangunkan wihdatul fikri (kesatuan fikiran) di kalangan ummah demi mempertahankan kemurnian Islam;
Ketiga: menjadikan institusi rasmi agama sebagai tempat rujukan umat Islam demi mengelak daripada terpengaruh dengan pandangan yang songsang; dan
Kempat: memantapkan pendidikan Islam di kalangan ummah dengan tasawwur Islam yang jelas.
Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan