Selasa, 3 Februari 2009

Menang Sorak kampung Tergadai :"TULAH" BILA TIDAK HORMATI DEMOKRASI!

Politik Perak sudah menjadi celaru biru! Kalut, kacau dan bertambah rumit! Pelbagai telahan, andaian dan spekulasi dibuat.

Inilah padahnya bila Pakatan Rakyat kihususnya ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncunya tidak mahu menghormati sistem demokrasi yang sedia ada.

Keputusan pilihanraya memihak kepada Barisan Nasional untuk menerajui Negara sementara Kelantan, Selangor, Perak dan Kedah jatuh ketangan Pakatan Rakyat. Barisan Nasional dan UMNO menghormati keputusan pilihanraya berkenaan dengan penuh keinsafan sehingga membuka episod baru Datuk Seri Abdullah selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO akan berundur pada Mac 2009.

Namun sebaik selesai pilihanraya, berdasarkan “prestasi” Pakatan Rakyat Anwar mencanang sana sini lebih 40 ahli Parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat dan secara langsung dia akan menjadi Perdana Menteri.

Sejak gembar gembur yang dibuat Anwar maka ramailah kuncu-kuncunya terus menabalnya sebagai bakal Perdana Menteri sehingga Israel menerusi medianya menyatakan Anwar bakal Perdana Menteri Malaysia dalam masa terdekat.

Suasana politik, keselamatan dan ekonomi tergugat sedikit sehingga Ketua Turus Angkatan tentera terpaksa membuat kenyataan yang terbuka berhubung ancaman yang sedang dihadapi Negara. Sebelum ini tiada seorang pun Ketua Turus Angkatan tentera bersuara sedemikian. Begitulah kalutnya suasana politik Negara akibat “omong-omong” Anwar Ibrahim.

16 September 2008 dijadikan sandaran oleh Anwar untuk menguasai kerajaan Pusat dan menjadi Perdana Menteri. Namun 16 September berlalu begitu saja. Anwar mula bercakap pula bahawa ramai ADUN di Sarawak dan Sabah akan menyertai Pakatan Rakyat, Namun sehingga kini “ngauman” itu tinggal ngauman sahaja.

Tiba-tiba tampa diduga oleh Pakatan Pembangkang khususnya Anwar dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, tiga orang Adun mereka telah hilang kepercayaan dan mahu meninggalkan Pakatan Rakyat.

Tampa melihat kepada implikasi undang-undang, Speker Dewan Undangan Negeri Perak V Sivakumar (yang sebelum dilantik telah mengumumkan keluar daripada PKR tetapi menarik balik keputusan ) telah dipergunakan untuk memanjangkan surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN berkenaan yang difahamkan ianya dipaksa laku pada Mac 2008 sebaik sahaja kerajaan negeri dibentuk.

Suruhanjaya Pilihanraya yang bersidang semalam memutuskan kedua-dua Adun berkeaan kekal sebagai Adun dan membuat keputusan bahawa surat yang dikemukan oleh Speaker itu tidak sah dan diragu. SPR sudah pasti mengambil kira pandangan Peguam Negara sebelum membuat keputusan berkenaan disamping menelitik kes-kes yang terdahulu.

Inilah padahnya! Inilah “tulah” bila amalan demokrasi tidak dihormati. Kemelut politik di Perak harus dijadikan pengajaran oleh Anwar dan kuncu-kuncunya agar sentiasa bersikap menghormati demokrasi.

Dalam sistem demokrasi apabila ada pemilihan atau pilihanraya atau ada perbincangan dan keputusan telah dibuat maka suara majoriti adalah keputusannya dan suara maniroti harus menghormati keputusan berkenaan. Tidak boleh dalam demokrasi pihak yang kalah akan keluar mengatakan dia tidak kalah dan dia yang menang.

Tidak boleh dalam demokrasi apabila sesuatu keputusan dibuat maka keluar seseorang mengatakan itu bukan keputusannya dan dia tidak menghormatikeputusan itu.

Tidak boleh dalam demokrasi pihak yang kalah tidak mengitiraf keputusan majoriti dan berusaha untuk menjatuh dan menggulingkan suara majoriti dengan cara yang biadap.

Namun itulah yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncunya. Setiap masa setiap detik setiap pelusuk yang mereka pergi akan dicanangkan bahawa Pakatan Rakyat tidak lama lagi akan menguasai kerajaan ini keraja mereka berjaya memujuk majoriti ahli BN untuk menyertai mereka. Maka yang mendengar terbakar dan naik semangat dan akan bertakbir dan bersorak serta berkokok merata-rata.

Kini apa yang berlaku kepada Pakatan Rakyat di Perak, merupakan satu amaran awal agar mereka sentiasa beringat bahawa “penumbuk” atau “penampar” mereka tidak sebenar mana pun. Anwar bukan “kunfayakun”. Ini satutamparan hebat kepada Anwar dan kuncu-kuncunya.

Jika sebelum ini Pakatan Rakyat sentiasa “menggempar” BN dan UMNO dengan “acara lompat melompat” kini mereka pula harus menerima realiti BN dan UMNO mampu berbuat sedemikian malah lebih menggemparkan kerana selama ini tiada suara kearah itu dibuat oleh BN dan UMNO!

Mereka yang mula bermain dengan api kini mereka harus menerima hakikat bahang kepanasan yang dirasai oleh api yang mula-mula mereka nyalakan dulu. Jika api itu yang membakar diri mereka jangan salah BN dan UMNO kerana parti ini sentiasa menghormati demokrasi.

Lihatlah Kelantan yang diperintah oleh PAS, walaupun pilihanraya ke 11 pada 2004 BN mempunyai majoriti yang hampir dekat dengan PAS namun BN menghormati keputusan itu dan tiada usaha mengganggu gugat kedudukan kerajaan PAS Kelantan. Jika BN dan UMNO tidak menghormati demokrasi sudah pasti kerajaan PAS Kelantan akan tergugat.

Malah sejak mula-mula menawan Kelantan, BN dan UMNO melaksanakan tugas untuk menawan Kelantan menerusi aktiviti dan kerja-kerja politik dan langsung tidak bercakap untuk mengguling kerajaan PAS dengan “membeli” wakil rakyat PAS. Usaha membeli wakil rakyat tidak pernah dilakukan walaupun ada dakwaaan namun ianya hanyalah dakwaan “dengar cakap” sahaja.

Kepada Anwar hentilah sendiwara politik. Hentilah retorik politik yang berpuluh tahun dimainkannya. Hentilah sikap memainkan sentiment membakar perasaan rakyat. Hentilah cakap tidak serupa bikin. Hentikanlah perbuatan berdiri diatas air mata orang lain.Hentilah berdiri diatas kesengsaraan orang lain. Ambil pengajaran awal yang diberikan ini.

Jelas terbukti apa yang berlaku di Perak adalah diluar jangkaan Anwar dan Pakatan Rakyat secara langsung menggambarkan Anwar bukanlah perancang strategik yang hebat! Beliau hanya hebat bercakap dan beretorik sahaja!

Oleh itu mereka harus menilai semula “pemujaan” terhadap Anwar yang selama ini mereka berikan.

Seperti kata Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, jangan jadi Mat Jenin. Bukan sekadar jangan Mat Jenin malah kini Pakatan Rakyat sudah jadi Lebai Malang, menang sorak kampong tergadai!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan